Tiada unsur terjatuh secara tidak sengaja, mahupun ditolak - Pakar Patologi



      Pakar Patologi menegaskan kematian Zara bukan disebabkan terjatuh secara tidak sengaja atau akibat ditolak.

_____________________________________________________________

Kota Kinabalu: Kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak mungkin berpunca daripada terjatuh secara tidak sengaja mahupun ditolak dari kedudukan berdiri di lokasi kejadian.

Pakar Patologi Forensik, Dr Jessie Hiu berkata, pada 2 Ogos lalu, beliau diminta untuk memberikan pendapat profesional mengenai kecederaan antemortem (sebelum kematian) yang dialami Zara Qairina.

"Saya sudah meneliti rekod perubatannya, termasuk radiograf, laporan imbasan CT (tomografi berkomputer) dan CTA (tomografi angiogram berkomputer), serta menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.

"Berdasarkan pemeriksaan di asrama si mati, ukuran dari lantai ke rel besi melintang paling atas yang dipasang pada tembok konkrit di tingkat tiga ialah 118 sentimeter (cm).

"Saya dimaklumkan ketinggian antemortem si mati (Zara Qairina) ialah 154 cm. Perbezaan antara ketinggian si mati dengan rel besi melintang paling atas ialah 36 cm.

"Ketinggian rel besi itu adalah lebih daripada tiga perempat ketinggian si mati dan berkemungkinan berada di atas pusat gravitinya," katanya memaklumkan hasil ketika siasatan di lokasi kejadian dijalankan pada 2 Ogos, jam 12.30 tengah hari.

Dr Hiu berkata demikian ketika membacakan kenyataan bertulis saksi setebal lima muka surat di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan ketika prosiding inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner, di sini, hari ini.

Kenyataan itu turut menyatakan, bagi wanita, pusat graviti lazimnya terletak di bahagian pelvis, selalunya di bawah pusat dalam kedudukan berdiri.

"Berdasarkan ukuran ketinggian dan lebar tembok konkrit, ketinggian rel besi, serta ketinggian antemortem si mati, adalah berkemungkinan untuknya memanjat tembok konkrit itu, menyeberangi rel besi, dan berdiri di atas tembok konkrit tersebut."

Dr Hiu berkhidmat sebagai pakar patologi forensik di Hospital Queen Elizabeth di sini sejak 1998.

Secara purata, pakar itu mengendalikan dan menyelia antara 100 hingga 150 bedah siasat setahun.

Beliau juga pernah memberi keterangan sebagai saksi pakar secara purata 10 hingga 15 kali setahun di Mahkamah Majistret, Sesyen dan Tinggi di Sabah serta Labuan.

Prosiding inkues kematian Zara Qairina bermula hari ini dan esok, sebelum disambung pada 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September ini.

 

Post a Comment

Previous Post Next Post